Monday, December 20, 2010


Hadis Sahih Bukhari, daripada Abu Hurairah r.a.. katanya:

Rasulullah s.a.w. menugaskan saya menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Kemudian datang seseorang lalu diambilnya segenggam makanan. Saya tangkap orang itu dan berkata kepadanya, "Nanti aku adukan engkau kepada Rasulullah s.a.w."

Katanya,"Saya memerlukan, kerana saya mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat."

Kata Abu Hurairah: Kerana itu saya lepaskan saja dia. Esok pagi Nabi s.a.w. bertanya, "Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?" Jawabku, "Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Saya berasa kasihan dan saya lepaskan dia."

Nabi bersabda, "Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi."

Saya pun yakin dia akan datang lagi, kerana kata-kata Rasulullah s.a.w. itu, lalu saya intip dia. Memang benar,dia datang lagi, dan diambilnya segenggam makanan. Terus saya tangkap dia, sambil berkata, "Nanti aku adukan engkau kepada Rasulullah s.a.w."

Katanya. "Lepaskan saya. Saya sangat memerlukan, dan saya punyai keluarga. Saya tak akan buat lagi."

Saya berasa kasihan, lalu saya lepaskan dia. Esok pagi-pagi Rasulullah s.a.w. bertanya saya, "Hai Abu hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?" Saya jawab, "Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Saya berasa kasihan dan saya lepaskan dia."

Nabi bersabda, "Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi."

Saya intip dia lagi untuk kali ketiga. Memang benar dia datang lagi dan diambilnya segenggam makanan. Lantas saya tangkap dia seraya berkata, "Aku akan adukan engkau kepada Rasulullah s.a.w. Ini kali ketiga engkau kata tak akan datang lagi tapi engkau datang juga."

Katanya, "Lepaskan saya, nanti saya ajarkan kamu kalimah-kalimah yang diberi manfaat oleh Allah, apabila kamu membaca kalimah itu." Kataku, "Apakah kalimah itu?"

Jawabnya, "Apabila kamu hendak tidur, bacalah Ayat Kursi, (ayat 255 surah Al-Baqarah). Maka kamu akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga pagi."

Setelah itu saya pun lepaskan dia. Esok pagi Rasulullah s.a.w. bertanya saya, "Apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?" Saya jawab, "Ya Rasulullah, dia mengajarkan saya beberapa kalimah yang katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang membacanya. Kerana itu dia saya lepaskan."

Nabi bertanya, "Apakah kalimah itu?" Jawabku, "Dia mengatakan kepadaku, apabila kamu hendak tidur bacalah Ayat Kursi dari awal hingga akhir, dan katanya, kamu akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi."

Nabi s.a.w bersabda, "Sesungguhnya dia telah benar kepadamu, padahal dia sangat pendusta. Tahukah engkau dengan siapa engkau bercakap selama tiga malam itu wahai Abu Hurairah?"

Jawabku, "Tidak."

Sabda baginda, "Itulah syaitan."

p/s: kawan3,baca ayat kursi sebelum tidur ^,^ insyaAllah, jauh dari gangguan...

No comments:

Post a Comment